Cara-cara Menjaga Kesihatan Diri (Ringkas)
Kesihatan amatlah penting dalam kehidupan kita. Terdapat
pelbagai cara untuk menjaga kesihatan diri.
Antaranya,
kita perlulah sentiasa bersenam di taman rekreasi agar badan kita sentiasa
sihat dan cergas. Dengan bersukan, otak kita juga akan menjadi cerdas.
Seterusnya,
kita perlu makan makanan yang seimbang dan
berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, nasi, ikan dan
sebagainya. Dengan itu, kita tidak mudah jatuh sakit.
Selain itu,
kita patut mendapat tidur yang mencukupi. Jadi, kita akan lebih bertenaga pada
keesokan harinya. Otak kita juga dapat berehat dan boleh mengurangkan stres.
Akhir
sekali, kita haruslah sentiasa mencuci tangan dengan sabun sebelum dan selepas
makan agar tangan kita sentiasa bersih. Kita juga dapat mengelakkan keracunan makanan
jika kita selalu mencuci tangan.
Kesimpulannya,
kita hendaklah menjaga kesihatan diri pada setiap masa agar kehidupan kita
lebih sejahtera.
Cara-cara Mengisi Masa lapang
Masa itu emas dan sangat berharga. Masa yang telah
terlepas tidak boleh berpatah balik. Oleh itu, kita harus menghargai masa
dengan menggunakan masa lapang dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang
berfaedah.
Antara aktiviti yang boleh kita
lakukan pada masa lapang ialah membaca. Membaca buku dapat menambahkan ilmu
pengetahuan kita. Kita boleh membaca buku di mana-mana sahaja seperti di rumah,
perpustakaan, perhentian bas dan sebagainya.
Selain itu, kita juga boleh
bersukan dan bersenam pada masa lapang. Badan kita akan menjadi sihat dan
cergas jika kita selalu bersukan dan bersenam. Malah, otak kita juga akan
menjadi cerdas. Dengan adanya otak yang cerdas membolehkan kita berfikir secara
rasional dan membuat pertimbangan yang betul.
Di samping itu, kita boleh
mengumpul setem pada masa lapang. Mengumpul setem membolehkan kita mengetahui
keunikan sesebuah negara. Kita juga dapat mengenali budaya dan cara hidup
sesuatu bangsa dengan lebih mendalam.
Pada masa lapang, kita juga boleh
membantu ibu membuat kerja-kerja rumah seperti mencuci pakaian, memasak,
menyapu sampah dan sebagainya. Ini dapat membantu meringankan beban tugas yang
ditanggung oleh ibu kita. Apabila tempat tinggal kita berada dalam keadaan yang
bersih, kita dapat hidup dengan selesa.
Pendek kata, masa yang berlalu
tidak akan kembali lagi. Oleh itu, kita haruslah mengisi masa lapang dengan
kegiatan yang berfaedah dan dapat mengelakkan
diri daripada terlibat dalam gejala yang tidak sihat.
Kebaikan Menyertai Aktiviti Kokurikulum
Tuliskan sebuah karangan yang bertajuk “Kebaikan Menyertai Aktiviti Kokurikulum”.
Kegiatan kokurikulum
ialah aktiviti yang dijalankan di luar bilik darjah. Kokurikulum merangkumi
persatuan, kelab, badan beruniform dan permainan.
Menyertai kokurikulum banyak
mendatangkan kebaikan kepada murid-murid. Penyertaan aktiviti kokurikulum dapat
menanam semangat kerjasama, bertanggungjawab, dan berdisiplin. Setiap pasukan
seperti Pengakap, Tunas Puteri, dan Persatuan Bulan Sabit Merah memerlukan
semangat kerjasama antara ahli pasukan. Tanpa kerjasama, sesebuah pasukan itu
tidak dapat berjalan dengan lancarnya.
Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum
juga dapat memupuk nilai kepimpinan murid. Mereka akan dilatih bagaimana untuk mengendalikan
pasukan yang dipimpini oleh mereka. Contohnya, ketua dalam pasukan pengakap.
Dengan menyertai kegiatan kokurikulum
juga, murid dapat memperoleh kemahiran yang sangat berguna. Contohnya, jika
seseorang murid itu menyertai pasukan bola sepak, dia akan dilatih
kemahiran-kemahiran yang berkaitan dengan bola sepak. Selain itu, murid-murid
juga dapat menambahkan pelbagai ilmu pengetahuan yang berguna jika melibatkan
diri dalam kegiatan ini.
Kesimpulannya, penyertaan murid dalam
kegiatan kokurikulum mendatangkan banyak kebaikan. Jelaslah kokurikulum
merupakan suatu aktiviti yang penting dan sewajarnya disertai oleh setiap
murid.
Kebaikan Menyertai Aktiviti Kokurikulum - Ringkas
Tuliskan sebuah karangan yang bertajuk “Kebaikan Menyertai Aktiviti Kokurikulum”.
Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti yang dijalankan di luar bilik darjah. Kokurikulum merangkumi persatuan, kelab, badan beruniform dan permainan.
Menyertai kokurikulum banyak
mendatangkan kebaikan kepada murid-murid. Penyertaan aktiviti kokurikulum dapat
menanam semangat kerjasama, bertanggungjawab, dan berdisiplin.
Murid-murid akan dilatih bagaimana untuk
mengendalikan pasukan yang dipimpini oleh mereka. Contohnya, ketua dalam
pasukan pengakap.
Dengan menyertai kegiatan kokurikulum
juga, murid dapat memperoleh kemahiran yang sangat berguna. Murid-murid juga
dapat menambahkan pelbagai ilmu pengetahuan jika melibatkan diri dalam kegiatan
ini.
Kesimpulannya, penyertaan murid dalam
kegiatan kokurikulum mendatangkan banyak kebaikan.
Kebaikan Membaca Surat Khabar
Di negara kita
terdapat pelbagai jenis surat khabar. Antara surat khabar yang terdapat di
negara kita ialah Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro, The Star, Sin
Chew Jit Poh dan sebagainya.
Terdapat pelbagai faedah membaca surat
khabar. Kita dapat mengetahui berita-berita terkini di dalam dan di luar
negara. Selain itu, jika kita rajin membaca surat khabar, pengetahuan kita akan
meluas dan bertambah.
Dalam surat khabar, terdapat pelbagai
jenis hiburan, kartun, cerita-cerita lucu, dan sebagainya yang dapat
menghiburkan hati kita dan dapat mengisi masa yang lapang dengan
perkara-perkara yang berfaedah.
Dengan membaca surat khabar juga,
pengetahuan bahasa kita juga akan bertambah dan dapat meningkatkan tahap
penguasaan kosa kata. Di samping itu, kita juga dapat mempelajari pelbagai
aspek tatabahasa dan penggunaannya secara betul dan tepat.
Melalui surat khabar, kita dapat melihat iklan-iklan tentang pekerjaan
dan mengetahui jawatan kosong yang wujud di sesebuah syarikat. Di samping itu,
kita juga dapat mengetahui tentang promosi-promosi terkini yang menarik dan
mendapat maklumat tentang sesuatu produk dengan mudahnya.
Jelaslah banyak faedah yang dapat kita
peroleh jika membaca surat khabar. Tanamlah minat suka membaca surat khabar
dalam diri kita sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Kebaikan Bersukan
Bersukan merupakan
suatu aktiviti yang sihat. Kita boleh bersukan di mana-mana sahaja sama ada di
rumah ataupun di sekolah.
Banyak faedah yang dapat kita peroleh
jika bersukan. Antaranya, kita dapat menyihatkan badan. Peluh yang keluar ketika
bersukan dapat menyihatkan badan kerana toksin di dalam badan juga dapat disingkirkan.
Dengan bersukan, kita juga dapat
mencerdaskan minda. Murid yang aktif bersukan biasanya prestasi akademiknya
juga lebih tinggi.
Bersukan juga membolehkan kita mengisi
masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Kita tidak akan membuang masa dengan membuat sesuatu yang tidak
berfaedah seperti melepak di tempat yang tidak sepatutnya.
Sesungguhnya bersukan amat berfaedah
kepada kita. Jadi isilah masa terluang anda dengan menyertai aktiviti bersukan.
Kepentingan Komputer
Komputer
sangat penting dalam kehidupan kita pada masa kini. Setiap orang pasti pernah
menggunakan komputer. Terdapat pelbagai kepentingan komputer kepada kita.
Antaranya, komputer dapat membantu kita
menyiapkan kerja dengan cepat dan mudah. Oleh itu, kita dapat menjimatkan masa
dan tenaga. Kerja-kerja yang dihasilkan dengan menggunakan komputer juga amat
kemas dan cantik.
Di samping itu, komputer boleh
digunakan untuk melayari Internet. Kita dapat menghantar e-mel kepada sesiapa
sahaja dalam masa yang pantas. Dengan itu, kita juga dapat mengeratkan
silaturahim antara satu sama lain walaupun tinggal berjauhan.
Dengan menggunakan komputer, kita boleh
mendengar muzik yang merdu sebagai halwa telinga untuk merehatkan minda dan
menenangkan fikiran. Selain itu, kita juga boleh bermain permainan komputer
untuk mengisi masa bagi mengurangkan stres.
Akhir sekali, komputer juga boleh
digunakan untuk mengulang kaji pelajaran secara bersendirian di rumah. Hal ini
dikatakan demikian kerana kita dapat mengakses pelbagai jenis bahan bacaan yang
baharu dan berguna melalui capaian Internet. Tambahan pula, bahan-bahan bacaan
tersebut disediakan secara interaktif dan menarik.
Kesimpulannya, komputer memberikan
banyak kebaikan kepada kita. Jadi, kita perlu menggunakan komputer dengan sebaik
mungkin agar dapat memberikan pelbagai manfaat kepada kita.