PERGI KE PASAR MALAM
Pada hari Ahad yang lalu, bapa membawa kami sekeluarga pergi ke pasar malam. Kami pergi ke sana pada pukul 6:30 petang dengan menaiki kereta bapa.
Kami tiba di pasar malam pada pukul 7:00 malam. Kami melihat ramai orang di sana. Suasana di pasar malam riuh-rendah dengan suara penjual dan pembeli tawar-menawar.
Ibu pergi ke gerai sayur untuk membeli sayur-sayuran yang segar. Ibu tawar-menawar dengan penjual itu untuk mendapatkan harga yang lebih murah. Kemudian, kami pergi membeli barang keperluan harian yang diperlukan.
Selepas itu, ibu membawa saya dan adik pergi ke gerai baju. Ibu membeli baju yang cantik untuk kami. Kami rambang mata ketika melihat baju-baju yang cantik di sana.
Seterusnya, kami pergi ke gerai makanan untuk membeli makanan yang sedap. Ibu membeli nasi lemak, ayam goreng, mi goreng, cendol, kuih-muih dan lain-lain lagi untuk makan malam.
Pada pukul 8:30 malam, kami pun pulang ke rumah. Saya berasa gembira kerana bapa membawa kami pergi ke pasar malam dan berharap agar dapat pergi ke sana lagi.