SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK
Pada hari Ahad yang lalu, sekolah saya telah mengadakan sambutan Hari Kanak-kanak. Tujuan sambutan ini diadakan adalah untuk meraikan kanak-kanak yang bakal menjadi pemimpin pada suatu hari nanti.
Murid-murid dan guru-guru berkumpul di dewan sekolah dengan perasaan yang gembira. Kami menyanyikan lagu Negaraku dan lagu Bangsa Johor. Selepas itu, kami mendengar ucapan yang disampaikan oleh guru besar. Dalam ucapannya, beliau menasihati kami agar belajar dengan bersungguh-sungguhnya.
Murid-murid membuat persembahan yang menarik di atas pentas. Antaranya ialah yoyo Cina, tarian, nyanyian, silap mata dan lain-lain lagi. Selepas itu, majlis penyampaian hadiah diadakan bagi tokoh murid. Setiap murid juga menerima hadiah Hari Kanak-kanak daripada pihak sekolah.
Pada pukul 10:30 pagi, kami pun masuk ke kelas masing-masing. Setiap kelas mengadakan jamuan makan. Murid-murid membawa pelbagai jenis makanan dan minuman dari rumah masing-masing. Guru-guru datang ke kelas untuk menikmati makanan dan minuman yang sedap.
Pada pukul 12:50 tengah hari, semua murid pun pulang ke rumah masing-masing. Saya berasa gembira kerana dapat menyambut Hari Kanak-kanak di sekolah. Saya berharap agar Hari Kanak-kanak ini akan diadakan lagi pada tahun hadapan.