SUASANA DI KANTIN SEKOLAH SAYA
Loceng waktu rehat berbunyi pada pukul 9:30 pagi. Selepas loceng berbunyi, murid-murid bergegas menuju ke kantin untuk mengisi perut. Ada juga murid yang berada di kelas untuk membersihkan bilik darjah. Saya berjalan ke kantin bersama kawan baik saya.
Pelbagai jenis makanan dan minuman yang berkhasiat dijual di kantin. Antaranya termasuklah mi sup, nasi goreng, mi goreng, jus oren dan lain-lain lagi. Murid-murid beratur dengan tertibnya semasa membeli makanan dan minuman di kantin sekolah. Para pekerja kantin sibuk melayan murid-murid dengan mesranya.
Suasana di kantin seperti ikan dalam belat dan riuh dengan suara murid yang memesan makanan. Selepas mencuci tangan, murid-murid duduk di atas bangku panjang sambil menikmati makanan yang sedap dengan berseleranya kerana terlalu lapar. Murid-murid juga berbual-bual sambil bergurau senda untuk mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.
Beberapa orang pengawas pula menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab di kantin. Mereka akan mengawasi murid-murid dan memastikan murid-murid tidak berebut-rebut ketika membeli makanan. Pengawas-pengawas juga akan menegur murid yang tidak mematuhi peraturan sekolah yang telah ditetapkan.
Setelah selesai menikmati makanan, murid-murid membuang pembalut makanan ke dalam tong sampah. Murid-murid juga memasukkan pinggan mangkuk dan sudu ke dalam besen yang telah disediakan di sana. Kemudian, mereka akan mencuci tangan dan mulut di singki sehingga bersih.
Tepat pada pukul 9:50 pagi, loceng berbunyi lagi menandakan waktu rehat telah tamat. Murid-murid beredar dari kantin lalu berjalan masuk ke kelas masing-masing. Suasana kantin yang riuh-rendah sekejap tadi telah kembali menjadi sunyi semula.