SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK
Sambutan Hari Kanak-kanak
Pada hari Ahad yang lalu, sekolah saya telah mengadakan sambutan Hari Kanak-kanak di sekolah. Tujuan sambutan ini diadakan adalah untuk meraikan kanak-kanak yang bakal menjadi pemimpin pada suatu hari nanti.
Pada awal pagi, murid-murid dan guru-guru berkumpul di dewan sekolah dengan perasaan yang gembira. Kami menyanyikan lagu Bangsa Johor, Negaraku dan lagu sekolah dengan penuh semangat. Selepas itu, kami mendengar ucapan yang disampaikan oleh guru besar. Dalam ucapannya, beliau menasihati kami agar belajar dengan bersungguh-sungguhnya supaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.
Murid-murid membuat persembahan yang menarik di atas pentas. Antaranya ialah yoyo Cina, tarian, nyanyian, silap mata dan lain-lain lagi. Para penonton bersorak-sorai sambil bertepuk tangan dengan gemuruhnya kerana persembahan-persembahan itu sungguh hebat dan menarik. Selepas itu, majlis penyampaian hadiah diadakan bagi tokoh murid. Setiap murid juga menerima hadiah Hari Kanak-kanak daripada pihak sekolah.
Pada pukul 10.30 pagi, kami pun masuk ke kelas masing-masing. Setiap kelas mengadakan jamuan. Murid-murid membawa pelbagai jenis makanan dan minuman dari rumah masing-masing. Guru-guru datang ke kelas untuk menikmati makanan dan minuman yang sedap. Kami juga makan aiskrim yang sedap untuk menghilangkan dahaga kerana cuaca sungguh panas.
Selepas itu, kami bermain pelbagai jenis permainan bersama guru-guru dengan seronoknya di dalam kelas untuk menghiburkan hati kami. Cikgu Goh juga mengambil gambar kami dengan menggunakan telefon pintarnya yang canggih untuk dijadikan kenangan yang manis. Kami juga berbual-bual bersama guru-guru dengan mesranya untuk mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
Pada pukul 12.50 tengah hari, semua murid pun pulang ke rumah masing-masing. Saya berasa gembira kerana dapat menyambut Hari Kanak-kanak di sekolah. Saya berharap agar Hari Kanak-kanak ini akan diadakan lagi pada tahun hadapan.