Hari Kantin
Tajuk: Hari Kantin
Pada hari Sabtu yang lalu, sekolah saya telah mengadakan Hari Kantin. Hari Kantin itu diadakan di padang sekolah. Hari Kantin itu dirasmikan oleh guru besar.
Tujuan Hari Kantin diadakan adalah untuk mengumpul dana. Dana itu akan digunakan untuk membaiki kemudahan sekolah seperti tandas, bilik-bilik khas, dewan dan perpustakaan. Selain itu, Hari Kantin diadakan adalah untuk mendidik murid-murid berniaga dengan betul.
Persiapan telah dilakukan beberapa hari sebelum Hari Kantin. Guru-guru, murid-murid dan ibu bapa bekerjasama untuk menghias gerai jualan. Pihak sekolah juga menyediakan khemah, meja dan kerusi.
Aktiviti Hari Kantin dimulakan pada pukul 8.00 pagi. Pembeli mesti menggunakan kupon untuk membeli barangan yang dijual. Hari Kantin itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua pihak.
Terdapat banyak gerai yang dibuka pada Hari Kantin. Antaranya, gerai makanan, gerai minuman, gerai alat mainan, gerai alat tulis dan gerai cenderamata. Aktiviti lain yang diadakan termasuklah kuiz, pertandingan nyanyian dan cabutan bertuah.
Hari Kantin tamat pada pukul 2.00 petang. Sebelum bersurai, kami bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah. Selepas itu, kami pun pulang ke rumah masing-masing.